10 Mei 2014

0 komen
Label

JALINAN KASIH BERSAMA KOMUNITI LUAR BANDAR KELANTAN 2014


PBM USM telah mengadakan satu program yang berunsur khidmat masyarakat di Kelantan pada 1-5 Mei yang lalu yang bertempat di Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh, Kelantan. Program ini dijalankan dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai. Program ini mempunyai beberapa objektif yang ingin dicapai:

1.1    Meletakkan Persatuan Bahasa Melayu pada kelasnya yang tersendiri melalui interaksi dengan dunia luar untuk mencapai matlamatnya  menjadi salah satu persatuan terbaik yang berada di salah sebuah universiti bertaraf dunia.

1.2  Menerapkan nilai kesukarelawanan dalam diri mahasiswa dengan menjalankan bakti siswa bersama pelajar sekolah menengah melalui program sukarelawan dan khidmat komuniti serta program motivasi.

1.3  Memberikan pengalaman baru kepada mahasiswa serta mahasiswi dengan menikmati sendiri bagaimana kehidupan masyarakat di luar bandar Negeri Kelantan ini.


Bergambar setelah selesai aktiviti LDK bersama pelajar sekolah SMK Sungai Petai.


Membersihkan tanah perkuburan di Kampung Gong Tinggi, Kelantan.


Membentangkan logo kumpulan dan persekitaran universiti yang diidamkan.


Antara salah satu aktiviti iaitu isi air ke dalam botol tanpa memegang cawan. Aktiviti ini bertujuan untuk melihat sejauh mana pelajar dapat berfikir dan bekerjasama.


Aktiviti luar iaitu bermandi-manda di Hutan Lipur Lata Tembakah, Terengganu.


Penyampaian cenderahati kepada keluarga angkat yang berupa barang-barang kering seperti beras, gula, tepung dan banyak lagi.


Majlis penutup 

17 Mac 2014

0 komen
Label

TINJAUAN BAHASA DI USM




PENGGUNAAN KATA PEMERI “ADALAH
               Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan, penggunaan kata pemeri adalah hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.
Contoh ayat yang menggunakan kata  pemeri adalah bagi frasa adjektif dan frasa sendi nama:
1.      Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
2.      Makanan seimbang adalah baik untuk kesihatan badan.
               Selain itu, perlu juga diingatkan bahawa kata-kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja.
Contoh penggunaan kata pemeri yang salah ( yang hadir sebelum FK):
1.      Adalah diberitahu sekolah akan ditutup esok.
           
               Oleh yang demikian penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat di atas iaitu “Adalah diingatkan bahawa pelajar hanya dibenarkan meletak 2 pasang kasut sahaja di kawasan koridor kubikel” menyalahi tatabahasa bahasa Melayu.
Ayat  dalam gambar tersebut seharusnya berbentuk seperti  berikut:
“Pelajar diingatkan agar meletakkan 2 pasang kasut sahaja di kawasan koridor kubikel”
RUJUKAN:
TATABAHASA DEWAN (NIK SAFIAH KARIM )

18 Februari 2014

0 komen
Label

Seminar Bulan Bahasa USM

Pada 30 November 2013,Persatuan Bahasa Melayu (PBMUSM) telah menganjurkan Seminar Bulan Bahasa dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP). Seminar itu telah diadakan di Dewan Kuliah B. Persatuan Bahasa Melayu telah menjemput seorang penceramah dari DBP iaitu Tuan Zaidi Bin Ismail yang merupakan Pegawai Perancang Bahasa di Bahagian Penyelidikan DBP.

Seminar ini bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari. Seramai 100 orang pelajar telah menghadiri seminar tersebut yang terdiri daripada pelajar yang bermajorkan Bahasa Melayu dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian,Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dan pusat-pusat pengajian lain.

Antara faedah yang diperolehi oleh para pelajar ialah penceramah berkongsi pengalaman mengenai penglibatannya dalam bidang penyelidikan dan perancangan bahasa. Para pelajar juga didedahkan dengan peluang-peluang pekerjaan yang dapat mereka ceburi selepas bergraduasi nanti. Di samping itu,para pelajar didedahkan  cara-cara untuk melakukan penyelidikan dan penyuntingan dalam bidang bahasa.

GAMBAR DI SEKITAR SEMINAR BULAN BAHASA ANJURAN PERSATUAN BAHASA MELAYU (PBMUSM)DENGAN KERJASAMA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA.



Tuan Zaidi dari DBP sedang menyampaikan seminar beliau.


Tuan Zaidi bersama Yang Dipertua PBM USM Mohd Fadzil dan salah seorang exco PBM USM Wee Soon Kit


1 komen
Label


Pada 29 Januari sehingga 3 Februari 2014 yang lalu, PBM USM telah mengadakan program Simposium Malindo USM-RIAU dengan kerjasama Bahasa Melayu Terjemahan dan Interpretasi (BM BATI), Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Universitas Riau dan juga Universitas Sumatera Utara Indonesia.

Program Simposium Malindo USM-RIAU ini merupakan suatu program pengantarabangsaan yang julung kalinya dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Sains Malaysia (PBM USM) semenjak ia ditubuhkan.Penglibatan ahli persatuan dengan masyarakat antarabangsa terutama dalam kalangan mahasiswa di Riau dan Medan adalah bertujuan untuk menjalin hubungan antara Universiti Sains Malaysia dengan Universitas Riau serta Universitas Sumatera Utara. Melalui projek ini membolehkan setiap ahli berinteraksi, mengenali dunia yang lebih luas dan mempamerkan sikap,nilai dan kewibawaan ahli-ahli persatuan yang berstatus Universiti Apex menjelajah pemikiran,budaya dan nilai kemanusiaan sejagat yang menghimpit masyarakat ASEAN khasnya Riau dan Medan ini. Program mega ini mampu mendatangkan manfaat yang besar kepada peserta dan berupaya dalam mempromosikan misi dan visi USM sambil merealisasikan aspek pengantarabangsaan siswa sebuah unversiti bertaraf APEX.

Antara objektif program ini adalah :

1. Meletakkan Persatuan Bahasa Melayu pada kelasnya yang tersendiri melalui interaksi dengan dunia luar dalam matlamatnya yang merupakan satu persatuan yang berada di salah sebuah universiti bertaraf dunia.

2. Mengadakan simposium tentang bahasa dan budaya Melayu/Indonesia untuk memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk berkomunikasi dan berkolaberasi dengan pelajar dan pensyarah jurusan pendidikan Bahasa dan Sastera, Universitas Riau, Indonesia.

3. Mengadakan lawatan akademik ke pusat pelancongan yang mencerminkan tempat kelahiran bahasa Melayu bagi menyelusuri sejarah kelahiran dan perkembangan bahasa Melayu di Malaysia yang berasal dari Riau.

4. Mewujudkan usahasama secara lestari antara Universiti Sains Malaysia dengan Universitas Riau dan Universitas Sumetera Utara, Indonesia.

5. Memupuk, membina dan mengilap semangat kerja berpasukan, semangat satu ASEAN bagi kewajaan bangsa satu Malaysia bagi digunakan sebagai pemangkin kepada Universiti Sains Malaysia.

6. Memperkenalkan Universiti Sains Malaysia pada peringkat ASEAN sebagai sebuah universiti yang menitikberatkan kelestarian dalam pembangunan insaniah belajar sepanjang hayat. Disiplin dipupuk, kejayaan dicipta untuk melangsungkan teras kemajuan dan pembangunan masyarakat dan negara.


ketika di lapangan terbang LCCT.



Menggunakan bas mini sebagai pengangkutan ketika berada di Indonesia.


Majlis sambutan daripada pihak Universitas Riau





Antara beberapa tempat yang dilawati semasa berada di Indonesia. Antaranya ialah Istana Siak Sri Indrapura, Berastagi, Danau toba


Setelah berada hampir 22 jam di dalam bas akhirnya rombongan tiba di 
Danau Toba. Keadaan yang sejuk dan keindahan alam menyegarkan badan dan menambahkan semangat setiap ahli rombongan.



Penasihat PBM USM, Dr Radiah Yusuff sedang berdiskusi bersama dorsen-dorsen di Universitas Sumatera Utara


MPP USM bersama BEM USU




07 Oktober 2013

0 komen
Label

Pada 1 Oktober hingga 3 Oktober 2013,Persatuan Bahasa Melayu USM telah membuka booth pendaftaran ahli baru dan hari interaksi 2013 di hadapan Dewan Kuliah I. Pada sidang ini, PBMUSM telah menerima pendaftaran ahli baru seramai 100 orang daripada pelbagai pusat pengajian seperti Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan,Pusat Pengajian Seni,Pusat Pengajian Pengurusan dan sebagainya.Semoga dengan kedatangan keluarga baru dalam PBMUSM dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli,Exco dan juga Majlis Tetinggi PBMUSM..:)





27 Mei 2013

0 komen
Label

Mekarkan bahasa di jagat

Berita Harian 26 Mei 2013, halaman 6-7


Siti Aisyah Bte Jamil
Tajuk: Mekarkan bahasa di jagat
Wawancara bersama Dr Awang Sariyan


Proses memartabatkan bahasa Melayu di peringkat serantau terus berjalan sejak 1950-an dan lebih rapi dengan adanya badan-badan serantau.

Menurut Ketua Pengarah ke-10 Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Dr Awang Sariyan, dengan adanya Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (Mabbim), Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), terdapat visi yang lebih jelas untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Yang amat diperlukan ialah iltizam atau komitmen oleh semua anggota dan pemerhati demi mencapai visi bersama mereka.

Mabbim dan Mastera masih terus aktif sehingga kini.

Sayangnya, MABM hanya tampak cergas dalam tahun-tahun awalnya iaitu antara 2000 hingga 2004 dalam membina jalinan sejagat.

Singapura merupakan pemerhati dalam Mabbim tetapi anggota penuh Mastera.

“Untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Mahawangsa (atau bahasa antarabangsa) bukanlah suatu yang jauh. Ini kerana dalam zaman kesultanan Melayu sebelum kedatangan penjajah Barat, bahasa Melayu sudah berperanan demikian.

“Ertinya, dari Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera sehingga Kalimantan dan pesisir Jawa, bahasa Melayu yang berpiawai sudah digunakan dengan meluas dari istana, perdagangan dan rakyat biasa,” hujah Dr Awang, 60 tahun, yang juga pengkaji bahasa dan pernah dianugerahi gelar kehormat Profesor Bahasa oleh Universiti Pengajian Asing Beijing.

Dengan adanya Mabbim, bahasa Melayu kian dibakukan untuk menjadi bahasa supra yang dapat digunakan di peringkat Asean.

“Namun kita harus akui adanya kesenjangan atau jurang bahasa kerana unsur-unsur kedaerahan, pengaruh penjajahan atau masalah birokrasi,” ujar Dr Awang secara realistik.

Untuk mengatasi jurang tersebut, sebuah Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2004) dengan 100,000 entri atau masukan kata diusahakan oleh pihak Brunei dengan sokongan Indonesia dan Malaysia.

Namun, beliau prihatin mengenai masalah hambatan aliran baku dalam bahasa Melayu dikalangan negara-negara Asean. Misalnya, masih terdapat sekatan bagi buku Malaysia memasuki Indonesia.

“Perlu ada suasana bebas bagi aliran buku, majalah dan seumpamanya selagi tidak menyalahi perundangan. Dengan ini, wacana rakyat di rantau ini dapat diperluas dengan menikmati perkembangan ilmu dalam bahasa Melayu dan merapatkan lagi jalinan,” katanya.

Di samping itu, perlu ada lowongan bagi interaksi antara generasi muda serantau. Misalnya, stesen televisyen swasta Malaysia, Astro, telah mengadakan acara berupa pertandingan dari lawak sehingga pidato untuk menarik bakat di seluruh rantau ini. “Cara ini membolehkan variasi lenggok bahasa di Malaysia dan Indonesia dapat difahami,” tambahnya.

Beliau juga menilai peranan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu sebagai penting untuk menarik perhatian di luar rantau ini. Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sudah pun diajarkan di banyak universiti antarabangsa.

Beliau teringat ketika menjadi Profesor Tamu di Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman (2006 dan 2007).
“Ketika itu saya menyampaikan makalah dalam sebutan Johor-Riau dan ini menimbulkan minat besar bagi program sarjana dengan variasi bahasa Melayu di Malaysia,” ceritanya.

Dr Awang juga menilai peri pentingnya karya yang menonjolkan keunikan kearifan setempat (local intelligence) yang boleh mencerminkan ketinggian pemikiran atau tamadun.

Misalnya, Dr Shaharir Mohamad Zain yang telah mengkaji batu-batu bersurat, telah menemui pelbagai kaedah pentadbiran kerajaan silam. Ini menunjukkan orang Melayu sejak zaman Sriwijaya telah arif mengenai pentadbiran, lama sebelum kaedah Machiavelli di Eropah dalam abad ke-15 M.

“Ilmu Melayu boleh digali untuk menunjukkan ketinggian tamadun di rantau ini,” katanya.

Sekalipun tidak meraih pengiktirafan dari Dunia Barat, rantau ini wajar menampilkan ketinggian ilmunya untuk diiktiraf oleh Dunia Islam seperti lewat Isesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam). Misalnya Profesor Ishak Haron meraih pengiktirafan Isesco kerana kajiannya mengenai tulisan Jawi yang menjadi penghubung negara-negara majoriti Muslim.

Jawi sudah digunakan di Pakistan bagi tulisan Urdu, Swahili di Afrika, bahasa Tamil di India.

Misalnya, Dr Awang mempunyai senaskhah terjemahan Al-Quran dalam tulisan Jawi bagi kegunaan orang Cham di Kemboja.

Bagi Dr Awang, kajian mengenai kearifan orang Melayudan tebarannya (diaspora) juga semakin penting dalam mengangkat mertabat bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

“Sewaktu di Pulau Hainan, di selatan China, saya membuat kajian ringkas mengenai bahasa Melayu.

“Pernah dulu ada kumpulan nelayan Cham yang dipukul ribut dan terdampar di pulau ini. Mereka terus bermaustatin di sana dan masih ingat lagi kekata mengenai nombor dan nama anggota dalam dialek bahasa bonda,” ceritanya.

Namun yang amat penting ialah bagi orang Melayu menonjolkan daya kreatif dan ilmu yang ditulis dalam bahasa Melayu yang rapi. Ini akan menarik sorotan antarabangsa sehingga istilah Melayu akan digunakan dalam terjemahan bahasa-bahasa dunia.

Kerjaya Dr Awang bak kembali pada titik asal.
Bermula sebagai pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menjadi pensyarah di beberapa universiti Malaysia dan luar Negara dan akhirnya kembali di puncak DBPsebagai ketua pengarahnya.

“Demikianlah takdir. Saya bekerja di pelbagai tempat yang telah memperkaya pengalaman, pergaulan dan ufuk pemikiran saya,” katanya.

Namun dalam berubah-ubah tempat kerja dari awam ke swasta, beliau juga perlu berkorban.

“Sewaktu menjadi Setiausaha Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), saya diperlukan menarik minat asing kepada bahasa Melayu.

“Pada sebuah universiti Barat, saya menemui kajian mengenai karya seorang penulis Melayu yang tidak masyhur. Mengapa mereka berbuat demikian? Saya fikir penulis Melayu terkenal bertaraf Sasterawan Negara mungkin lebih sesuai dikaji.

“Namun mereka berpendapat yang utama ialah mengkaji worldview (tasawwur) seperti bahasa, budaya, nuansa kehidupan dalam masyarakat yang tercermin daripada sesebuah karya.

“Mungkin hal dibuat kerana ada agenda tertentu oleh para pengkaji Barat – suatu yang sudah menjadi amalan Barat sejak zaman penjajahan dahulu,” ceritanya.

Ketika berkhidmat sebagai penyandang pertama Kursi Pengajian Mekayu-Malaysia-China di Universiti Pengajian Asing (diasaskan pada 1941), Beijing, Dr Awang memperkenalkan program kajian di peringkat sarjana.
(Kini kursi itu disandang oleh Profesor Dr Mohd. Taib Haji Dora.)

“Program itu membahagiakan banyak pihak. Program bahasa Melayu di universiti itu sudah bermula lama, sejak 1961,” ceritanya.

China mempunyai beberapa lagi pusat pengajian bahasa Melayu termasuk di Kunming, Guangzhou dan Nanjing. Malah pemerintah China juga menyiarkan rancangan bahasa Melayu lewat Radio Antarabangsa China (http://malay.cri.cn/)

SEMANGAT JUANG
“Saya menilai diri ini sebagai ahli ilmuyang perlu mempunyai semangat juang dengan dapat menggarap pelbagai isu masyarakat.

“Ahli ilmu tidak boleh duduk diam di menara gading saja dan melihat dari samping saja keadaan masyarakatnya. Sebaliknya, kita cuba membantu dengan memberikan perspektif yang betul mengenai isu yang cacamarba," katanya tegas.

(Cacamarba ialah suatu yang mengandungi pelbagai unsur dan sering melibatkan tindakan yang gelabah.)

“Kita perlu ada masa untuk menyumbang kepada masyarakat,” kata Dr Awang yang di sebalik kesibukannya, masih gigih berbakti di sejumlah jawatankuasa peringkat nasional dan varsiti di Malaysia dan serantau.

PENGURUSAN MASA
“Kita cuma ada masa yang diberi Tuhan. Jadi, gunakanlah dengan sebaik-baiknya dengan bergerak terus penuh disiplin dan komitmen atau iltizam. Bagi saya, setiap kerja itu fardu kifayah - mesti dilakukan dengan sebaik-baiknya sebagai amanah yang mesti dijayakan.

“Memang saya mengarang banyak buku. Tapi tanyalah berapa royalti yang saya terima. Namun jika berasa serik kerana tertipu dari segi royalti, tentu kita tidak akan senang untuk menulis terus,” ceritanya mengenai lebih 60 buku yang dikarangnya termasuk buku teks sekolah.
Dr Awang amat cenderung pada konsep Islamisasi ilmu yang dirintis oleh gurunya, Profesor Dr Muhammad Naquib Al-Attas.

“Saya mahir dalam bidang bahasa sehingga saya manfaatkannya untuk meraih doctor falsafah.

“Memang bahasa adalah antara kurnia tinggi Ilahi kepada manusia. Saya menilai bahasa bukan sebagai satu bidang khusus secara mikro.

“Sebaliknya saya manfaatkan anjuran Profesor Naquib bahawa setiap ilmu perlu melalui proses penganyaman. Jadi, bahasa perlu dianyam dengan bidang ilmu yang lain untuk membentuk suatu kesatuan. Demikianlah tradisi Islam yang berbeza dengan tradisi Barat yang amat mengkhusus atau menilai secara mikro.”

TOKOH PENGARUH
Dr Awang turut menamakan dua lagi tokoh yang banyak mempengaruhi pemikirannya dari segi ilmu bahasa iaitu Pak Muhd Asraf Haji Abdul Wahab dan Profesor Emeritus Dato’ Nik Safiah Haji Abdul Karim yang disifatkannya sebagai ‘serikandi’ perjuangan bahasa Melayu.

Dalam blog sibernya, Kembara Bahasa, Dr Awang Sariyan menyifatkan Pak Asraf sebagai seorang yang menemui bahasa secara tidak sengaja, berjinak-jinak dengan perjuangan kemerdekaan, pernah menjadi usahawan plastik yang kena tipu dan akhirnya kembali tertumpu kepada bidang linguistik.

“Pak Asraf tidak ke varsiti. Namun pemikiran dan tulisannya dianggap sudah menyamai profesor,” katanya.

Baginya, Dr Nik Safiah memang berjaya dalam memperjuangkan bahasa Melayu bukan saja di Malaysia malah di persada rantau.

“Prinsip saya ialah apabila menerima undangan, terimalah sebagai suatu amanah untuk dikerjakan dengan sungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab.

“Pernah ada orang mengkritik saya macam ‘tamak’ kerana sering muncul pada persidangan di sana sini. Tapi saya perlu lakukan ini kerana sudah ada kepercayaan orang pada kemampuan kita untuk mengisi undangan,” kata ayah empat anak dalam usia 30-an itu.

Radio Antarabangsa China
malay.cri.cn

19 April 2013

0 komen
Label , ,

Wakaf Buku: Sumbangan untuk Universiti Islam Yala

Kami membuka 'Wakaf Buku' untuk mengumpul buku-buku berbahasa Melayu
yang akan disumbangkan kepada Universiti Islam Yala.

Wakaf Buku ini akan dibuka hingga 24 Mei 2013.
Hubungi wakil bagi setiap desasiswa untuk mewakafkan buku anda.
Nombor untuk dihubungi adalah tertera seperti dalam poster di bawah.


0 komen
Label ,

Bengkel Penyuntingan

Persatuan Bahasa Melayu USM telah menganjurkan satu lagi program iaitu Bengkel Penyuntingan yang disampaikan oleh Dr. Goh Sang Seong, salah seorang pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian. Program ini telah dijayakan pada hari Jumaat, 19 April 2013, dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah hari.

Penyertaan daripada pelajar adalah memuaskan. Seramai 28 orang pelajar yang telah mengikuti bengkel ini. Kebanyakan pelajar yang hadir ialah pelajar yang bermajor bahasa Melayu di USM. Selain daripada itu, turut menyertai bengkel ini juga ialah empat orang pelajar pertukaran dari Universiti Brunei Darussalam.

Dr. Radiah Yusoff (Penasihat PBM) dan Dr. Goh Sang Seong

Semua peserta Bengkel Penyuntingan

21 Disember 2012

0 komen
Label ,

Seminar Bahasa dan Komunikasi: Teori dan Praktikal


Persatuan Bahasa Melayu USM dengan kerjasama Bahagian Bahasa Malaysia, Terjemahan, dan Intepretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, telah mengadakan Seminar Bahasa dan Komunikasi pada 18 Disember 2012 (Selasa).

Majlis dirasmikan oleh Prof. Noriah Mohamed, dan seramai 11 orang yang telah dipilih untuk menjadi pembentang dalam seminar tersebut. Pembentang adalah dari kalangan pelajar Master Bahasa Melayu, dan juga pensyarah-pesyarah Bahasa Melayu.

Berikut ialah senarai para pembentang;

Cik Maliati Mohamad
Perbualan Dalam Kalangan Keluarga Menggunakan Dialek Terengganu: Satu Kajian Kes Kualitatif Berlandaskan Teori Budaya Organisasi

Pn Zahratul Akma Yahaya

Cik Noor Nadia Nasir
Perbualan dalam Kalangan Keluarga: Satu Analisis Teori Informasi Organisasi

Pn Manjit Kaur Bakhshis Singh
Satu Kajian Kes Kualitatif Tentang Keintiman Hubungan Kekeluargaan Dalam Kalangan Orang Punjabi Yang Bilingual Melalui Pola Komunikasi Berlandaskan Teori Penembusan Sosial( Altman Dan Taylor:1973)

Tn Azizan Abd Aziz
Kata Hubung Pancangan Keterangan 'SEMENTARA': Satu Analisis Pragmatik

Pn Suraiya Japakiya
Pemahaman Komunikasi Dalam Keluarga Di Selatan Thailand: Satu Analisis Teori Percanggahan Kognitif

Cik Noor Azureen Hamid @ Ahmed
Analisis Perbualan Dalam Komunikasi Keluarga Melayu Sarawak: Satu Kajian Kes Berlandaskan Teori Akomodasi Komunikasi

Tn Bukhari Shafie

Cik Noor Hafida Mohamed
Analisis Perbualan Keluarga Dalam Dialek Melayu Kelantan : Satu Kajian Teori Pertukaran Sosial

Pn Jamilah Ikhsan

Dr Radiah Yusoff
Etika Kajian Bahasa dan Komunikasi di Ruang Awam: Satu Tinjauan
0 komen
Label ,

Sembang Santai: Kanser

Sembang Santai: Kanser telah diadakan pada 2 November 2012 (Jumaat).

Aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti sampingan dibawah Persatuan Bahasa Melayu yang diadakan untuk perkongsian pengalaman bersama Puan Shirley Idris.

Beliau merupakan salah seorang pesakit kanser payudara yang telah melepasi tahap bahaya kanser tersebut. Alhamdulillah, beliau sekarang semakin sihat dan sedang bergiat aktif sebagai sukarelawan MAKNA.

Aktiviti ini berjalan selama dua jam, bermula dari jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari. Sepanjang aktiviti ini, banyak pengalaman beliau yang dikongsikan bersama. Selain itu, beliau juga turut memberi nasihat supaya sentiasa waspada terhadap ancaman kanser yang mungkin akan dihadapi oleh sesiapa sahaja dan tidak kira usia.

Puan Shirley [dua dari kiri] bersama beberapa ahli PBM



17 Oktober 2012

0 komen
Label ,

Hari Interaksi PBM

Kami menjemput semua ahli PBM untuk hadir ke program Hari Interaksi PBM. 
Tarikh, tempat dan masa adalah seperti yang tertera dalam poster dibawah. 
Pelajar yang berminat untuk menjadi ahli boleh mendaftar keahlian semasa program ini dijalankan.


04 Oktober 2012

0 komen
Label ,

Minggu Pendaftaran Keahlian

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

4 Okt 2012 - Sepanjang minggu ini, banyak kelab dan persatuan di USM telah membuka kaunter pendaftaran keahlian di sepanjang foyer dewan kuliah. Persatuan Bahasa Melayu juga turut tidak ketinggalan untuk membuka kaunter bagi mencari ahli-ahli yang baru. Kaunter pendaftaran keahlian persatuan kami dibuka di hadapan foyer Dewan Kuliah M.

Kaunter Pendaftaran Keahlian PBM di foyer Dewan Kuliah M

Persatuan Bahasa Melayu merupakan persatuan yang baru diaktifkan semula pada sidang 2012/2013 ini. Oleh itu, minggu ini kami amat mengharapkan penyertaan ahli baru yang ramai. Alhamdulillah, sejak dari hari pertama kami membuka kaunter telah ramai pelajar yang sudi untuk mendaftar sebagai ahli. Bahkan yang lebih menggembirakan kami ialah bukan sahaja pelajar-pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan yang menjadi ahli persatuan ini tetapi juga pelajar dari pusat pengajian yang lain.
Sambutan yang menggalakkan dari pusat pengajian lain amat kami hargai memandangkan ramai antara pelajar yang masih berpendapat bahawa persatuan ini hanyalah untuk pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan yang bermajor dalam Pengajian Bahasa Melayu sahaja. Kami berharap dengan adanya keahlian pelajar-pelajar dari pusat pengajian lain, pandangan pelajar USM terhadap Persatuan Bahasa Melayu akan lebih terbuka.

Esok, 5hb Oktober 2012, merupakan hari terakhir bagi pembukaan kaunter. Bagi pelajar-pelajar USM yang masih lagi belum mendaftar sebagai ahli Persatuan Bahasa Melayu, kami dengan berbesar hati menjemput anda semua untuk datang ke kaunter kami di foyer Dewan Kuliah M. Yuran keahlian hanyalah RM 3 sahaja. Anda juga boleh menyertai program Hari Interaksi PBM dengan membayar yuran program sebanyak RM 5.