04 Oktober 2012

Minggu Pendaftaran Keahlian

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

4 Okt 2012 - Sepanjang minggu ini, banyak kelab dan persatuan di USM telah membuka kaunter pendaftaran keahlian di sepanjang foyer dewan kuliah. Persatuan Bahasa Melayu juga turut tidak ketinggalan untuk membuka kaunter bagi mencari ahli-ahli yang baru. Kaunter pendaftaran keahlian persatuan kami dibuka di hadapan foyer Dewan Kuliah M.

Kaunter Pendaftaran Keahlian PBM di foyer Dewan Kuliah M

Persatuan Bahasa Melayu merupakan persatuan yang baru diaktifkan semula pada sidang 2012/2013 ini. Oleh itu, minggu ini kami amat mengharapkan penyertaan ahli baru yang ramai. Alhamdulillah, sejak dari hari pertama kami membuka kaunter telah ramai pelajar yang sudi untuk mendaftar sebagai ahli. Bahkan yang lebih menggembirakan kami ialah bukan sahaja pelajar-pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan yang menjadi ahli persatuan ini tetapi juga pelajar dari pusat pengajian yang lain.
Sambutan yang menggalakkan dari pusat pengajian lain amat kami hargai memandangkan ramai antara pelajar yang masih berpendapat bahawa persatuan ini hanyalah untuk pelajar dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan yang bermajor dalam Pengajian Bahasa Melayu sahaja. Kami berharap dengan adanya keahlian pelajar-pelajar dari pusat pengajian lain, pandangan pelajar USM terhadap Persatuan Bahasa Melayu akan lebih terbuka.

Esok, 5hb Oktober 2012, merupakan hari terakhir bagi pembukaan kaunter. Bagi pelajar-pelajar USM yang masih lagi belum mendaftar sebagai ahli Persatuan Bahasa Melayu, kami dengan berbesar hati menjemput anda semua untuk datang ke kaunter kami di foyer Dewan Kuliah M. Yuran keahlian hanyalah RM 3 sahaja. Anda juga boleh menyertai program Hari Interaksi PBM dengan membayar yuran program sebanyak RM 5.

0 komen:

Catat Ulasan